loading...
Pelakon dan pelawak Ebby Yus terpaksa melupakan impian mahu mendirikan rumah tangga kerana memikirkan usianya yang sudah lanjut tambahan beliau mengidap beberapa penyakit kronik.
Menurut Ebby atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid, 51, beliau bersyukur dan bahagia dengan kehidupan yang dijalaninya sekarang disamping memikul tanggungjawab menjaga beberapa ahli keluarganya.
"Memang saya teringin nak kahwin... sejak saya sudah akil baligh lagi saya dah ada keinginan itu, " guraunya.
"Tapi belum ada jodoh...Jodoh itu tidak boleh dinanti dan tak boleh dicari. Diusia saya yang nak masuk 52 tahun ni, kahwin bagi saya sudah jatuh nombor dua.
"Saya pun ada tanggungjawab yang saya jalankan. Saya menjaga seorang kakak saya kerana beliau kurang upaya dan beliau mempunyai tiga orang cucu, "katanya kepada Malaysia Digest ketika ditemui baru-baru ini.
Dalam pada itu pelawak berasal dari Negeri Sembilan ini berkata, seandainya beliau mahu berkahwin, wanita pilihannya itu mestilah seorang yang bukan saja boleh menerima dirinya malah keluarganya.
"Kadang-kadang tu saya terfikir kalau saya nak kahwin, ada ker orang nakkan saya ni. Wanita itu mestilah yang boleh menerima saya dan keadaan saya yang mengidap beberapa penyakit kronik. Selain itu, dia juga seorang yang boleh menerima keluarga saya," ujarnya.
Hanya 1 Liter Air Sehari
Faktor kesihatan membuat Ebby kini terpaksa mengehadkan aktiviti seninya kerana tidak boleh terlalu letih. Justeru dia mengambi keputusan kurang menerima tawaran berlakon terutama yang menuntutnya menjalani penggambaran di lokasi luar.
Jelasnya, akibat daripada penyakit paru-paru berair yang dihidapinya, dia hanya boleh meminum seliter air sahaja sehari bagi mengelakkan paru-parunya gagal berfungsi.
Sebagai langkah berjaga-jaga dan memastikan tubuh badannya sihat, Ebby mengamalkan senaman dan menjaga pemakanan.
"Alhamdulillah, setakat ini kesihatan saya bertambah baik. Tapi saya sudah kurangkan aktiviti seni dan lakonan. Saya hanya terima tawaran jika penggambaran melibatkan 'indoor' seperti di studio.
"Kalau di lokasi luar saya tidak boleh beri komitmen kerana bimbang saya akan berasa terlalu penat. Lagipun cuaca agak panas dan saya pula tidak boleh minum air terlalu banyak.
"Sehari saya hanya boleh minum seliter air saja. Pemakanan pun saya kena jaga dan pantang, tapi kadang-kadang tu terbabas juga. Setiap enam bulan sekali saja akan jalani pemeriksaan kesihatan di hospital," katanya.
Pada 8 Februari lalu, Ebby dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) selama seminggu selepas mengalami masalah paru-paru dan jantung. Sebelum ini pernah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth 2, Kota Kinabalu, Sabah pada November 2015 akibat masalah yang sama.
Dalam pada itu, Ebby turut sibuk menguruskan perniagaan restorannya, Adam Lai yang kini semakin berkembang maju. Setakat ini, restorannya itu mempunyai tiga cawangan iaitu di Shah Alam, Prima Sri Gombak dan Wangsa Melawati.
"InsyaAllah, saya dalam perancangan untuk membuka satu lagi cawangan iaitu di Bangi, tidak lama lagi," beritahunya.
Perkembangan lain, Ebby dipertanggungjawabkan memikul tugas sebagai pembimbing dan tenaga pengajar kepada para perserta program terbaharu Lawak Solo. Program yang mencari pelapis pelawak solo tanahair ini akan bermula pada Oktober depan dan akan bersiaran di saluran Astro Warna, setiap Jumaat, jam 10 malam.
Selain Ebby, dua lagi ikon komedi yang turut dipilih ialah Douglas Lim dan Nabil Ahmad. Ketiga-tiga mereka juga akan bertindak sebagai juri ujibakat dan mengenal pasti siaa yang berpotensi diketengahkan menjadi pelawak terunggul yang seterusnya nanti.
"Saya berharap kepada mereka yang akan hadir ujibakat, mereka betul-betul membuat persediaan dan berlatih sebelum datang ke ujibakat. Mereka perlu tahu apa topik dan persembahan yang bagaimana mereka mahu persembahkan, dan mesti punya identiti dan cara yang tersendiri. Saya nasihatkan, sebelum datang ke ujibakat tu, buatlah latihan di depan cermin dulu," katanya.
Sumber: BulletinViral
loading...
0 Response to "(ViraL) Akhirnya Abby Yus Berlaku JUJUR, Bongkar Kenapa Sampai Hari Ni TAK KAHWIN LAGI ??? Kerana.."
Post a Comment